Liga Malaysia tetap 'ON' 5 Mac - Utusan Malaysia

Liga Malaysia tetap ‘ON’ 5 Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan kelendar Liga Malaysia (Liga M) musim 2021 bakal bermula pada 5 Mac ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan pengumuman itu sejajar dengan keputusan pihak kerajaan  membenarkan program latihan berpusat bagi pasukan-pasukan Liga Malaysia, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) bermula Isnin ini.

Jelas Ab. Ghani, pihaknya menyambut baik kebenaran itu, yang mana program latihan berpusat menyaksikan tempat latihan dan pergerakan atlet atau pemain terkawal mengikut model gelembung sukan dengan penginapan atlet dan pemain perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ‘camp quarantine’ dan ‘home quarantine’ yang ditetapkan.

AB GHANI HASSAN

“Pertama saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas kerajaan telah membenarkan pasukan-pasukan Liga Malaysia menjalani  latihan secara berpusat.

“Perkhabaran positif ini bukan sahaja memberikan kelegaan kepada industri sukan tanah air, malah kegembiraan kepada penyokong yang sentiasa menantikan sepak mula liga bola sepak tempatan.

“Susulan pengumuman kebenaran kerajaan, Liga Malaysia akan kembali membuka tirai pada 5 Mac ini.

“Setiap pasukan telah dimaklumkan tentang liga yang akan bermula dengan perlawanan Sumbangsih menemukan Johor Darul Ta’zim dan Kedah nanti.

“Saya harap kesemua pasukan kekal berdisiplin dalam menjaga amalan SOP sepanjang Liga Malaysia berlangsung.

“Kini tanggungjawab pemain, pegawai dan pasukan adalah mematuhi SOP di mana salah satu langkah iaitu Home Quarantine adalah untuk keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.

“Kita tidak mahu ada mana-mana pemain, pegawai dan pasukan gagal mematuhi SOP sehingga menyebabkan kes Covid-19 berlaku,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

MFL sebelum ini mengumumkan pihaknya telah memutuskan penundaan tarikh sepak mula Liga Malaysia bagi musim 2021.

Keputusan itu dicapai sejurus berbincang dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL secara dalam talian selepas turut mengambil pandangan serta persetujuan daripada wakil-wakil pasukan pada bulan lalu.

Keputusan untuk meminda sepak mula Liga M musim ini yang sepatutnya bermula  26 Februari lalu disebabkan rentetan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali bersambung sehingga 18 Februari 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya