PETALING JAYA: Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memutuskan untuk menghantar kombinasi atlet muda dan berpengalaman ke Sukan SEA 2021 Hanoi.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, selepas Sukan SEA 2019 Manila, kerajaan dan pihaknya berhasrat menghantar barisan atlet muda bagi memberi pengalaman kepada mereka dalam temasya berikutnya di Hanoi.
Katanya, beberapa siri pertemuan bersama persatuan kebangsaan Majlis Sukan Negara (MSN) sudah diadakan pada September lalu bagi membincangkan idea menghantar atlet muda ke temasya dwitahunan itu.
“Dalam mesyuarat yang diadakan hari ini (semalam) pelbagai komposisi atlet ke temasya itu dibincangkan.
“Kesan terhadap persiapan mereka akibat pandemik Covid-19 dengan pelbagai kejohanan tempatan dan antarabangsa dibatalkan selain ditangguhkan.
“Penundaan Sukma (Sukan Malaysia) 2020 juga memberi kesan kepada atlet-atlet muda negara kerana ia menjadi platform pemilihan untuk mereka ke Sukan SEA 2021,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohamad Norza berkata, ketiadaan kejohanan juga menyukarkan atlet dan jurulatih untuk membuat penilaian bagi memilih atlet ke temasya tersebut.
“Selepas mengambil kira pelbagai faktor, Jawatankuasa Pemilihan MOM akan mengadakan pertemuan secara individu bersama PSK (Persatuan Sukan Kebangsaan) secepat mungkin sehingga 15 Mac ini bagi menentukan komposisi terbaik atlet untuk setiap acara.
“Kriteria bagi kategori A dan B tidak berubah dan jawatankuasa ini mempunyai hak untuk memilih atlet yang layak untuk berada dalam pasukan meskipun tidak mencapai kriteria yang ditetapkan,” katanya.