LONDON: Jurgen Klopp mengakui, dua kesilapan Alisson Becker telah ‘membunuh’ Liverpool dan menyebabkan mereka tumpas 1-4 kepada Manchester City dalam aksi Liga Perdana pagi tadi.
Pengendali Reds itu bagaimanapun enggan menghukum penjaga gol Brazil tersebut kerana dia telah banyak kali ‘menyelamatkan nyawa’ pasukan sebelum ini.
Ini kali pertama sejak 1963, Liverpool kalah tiga kali berturut-turut dalam aksi liga di Anfield, sekali gus ketinggalan 10 mata di belakang City.
Mohamed Salah berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas Ilkay Gundogan
membuka jaringan buat City pada minit ke-49.
Begitupun dua kesilapan Alisson yang menghantar bola kepada pemain lawan dalam kotak penalti sendiri mengundang padah apabila Gundogan meledak gol kedua City sebelum Raheem Sterling menambah jaringan ketiga.
Phil Foden melengkapkan gol keempat pasukan pelawat untuk memberi kekalahan terbesar buat Klopp di laman sendiri.
“Dua gol ini (hasil kesilapan Alisson telah membunuh perlawanan, semua orang tahu tentang perkara itu.
“Saya bercakap dengannya selepas perlawanan. Alisson amat kecewa dan berkata ‘bukan hari ini, bukan hari ini.’
“Saya beritahu dia, kita tidak boleh menentukan bila akan membuat kesilapan kerana tidak pilih untuk buat silap.
“Ia satu kesilapan yang besar tapi tidak mengapa, dia pernah menyelamatkan kami banyak kali dengan persembahan kelas dunia. Hari ini dia membuat silap dan kami kena terima,” kata Klopp. – AGENSI