PETALING JAYA: Pemain beregu wanita negara, Vivian Hoo sudah menjangkakan akan digugurkan daripada skuad badminton kebangsaan, namun terkejut ia berlaku terlalu awal.
Jelas pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 Gold Coast itu, buat masa ini dia memerlukan masa untuk tenangkan diri sebelum memberi sebarang kenyataan.
“Saya tahu benda ini akan jadi tapi tak jangka berakhir dengan cara macam ini dan secepat ini.
“Bagi saya masa bertenang dahulu, saya akan berbincang dengan BAM semula. Saya tidak boleh nak komen dan perlukan masa untuk bertenang terlebih dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam membuat kejutan apabila menyingkirkan lima pemain senior iaitu Vivian Hoo, perseorangan wanita negara Soniia Cheah serta tiga pemain beregu campuran melibatkan Lai Pei Jing dan gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Kesemua lima pemain itu kini bebas untuk meneruskan perjuangan sebagai pemain profesional atau sebaliknya.
Selain barisan pemain senior itu, BAM turut melepaskan Ter Chun Long, Low Eu Cong (perseorangan lelaki) dan Ching Kai Feng, Ooi Jhy Dar (beregu lelaki).
Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian yang dilakukan terhadap semua pemain sepanjang tahun lalu dan bukannya prestasi sepanjang tiga kejohanan di Bangkok, Thailand.
BAM mengucapkan terima kasih kepada semua pemain terbabit di atas komitmen, dedikasi dan sumbangan besar mereka terhadap negara selama ini serta mengucapkan semoga maju jaya dalam karier baharu.