MADRID: Kekalahan mengejut 0-2 Atletico Madrid kepada Levante membolehkan Real Madrid menghambat pendahulu La Liga itu dengan hanya tiga mata di belakang.
Ini kekalahan pertama Atletico sejak Disember lalu, malah mereka hanya mengutip lima mata daripada empat perlawanan sepanjang Februari.
Selepas seri 1-1 dengan lawan yang sama Rabu lalu, Atletico berharap untuk bangkit di laman sendiri hari ini, namun kekalahan menurunkan keyakinan mereka menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Chelsea, Rabu ini.
Bagi Real, tandukan Casemiro pada babak kedua sudah mencukupi untuk menang 1-0 ke atas Real Valladolid, sekali gus memberi suntikan moral menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Atalanta, Khamis ini.
“Sejak awal lagi kami percaya mampu memenangi liga, namun keyakinan itu bukan disebabkan kekalahan Atletico.
“Masih ada 42 mata untuk dikutip, ia jumlah yang banyak dan kami akan cuba menang sebanyak mungkin,” kata Casemiro.
Ini kemenangan keempat berturut-turut buat Real yang dihantui krisis kecederaan Selepas kehilangan Karim Benzema, Eden Hazard, Sergio Ramos dan Dani Carvajal. – AGENSI