PETALING JAYA: Saingan Kejuaraan Cub Prix musim 2021 akan menyajikan semula 10 pusingan berdasarkan jadual perlumbaan yang telah diumumkan baru-baru ini.
Jadual sementara itu diaturkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan mengambil kira andaian ketiadaan penonton secara langsung di litar.
Lima daripada 10 pusingan musim 2021 akan tertumpu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), manakala dua lagi di Litar Tangkak, Johor dan satu lagi di Terengganu, dengan lokasi dua perlumbaan berbaki belum dapat ditetapkan.
“Sekiranya tiada halangan, pihak Cub Prix berharap akan memulakan musim 2021 pada bulan Mac nanti.
“Bagaimanapun harus diingatkan, jadual ini masih tertakluk kepada perubahan semasa,” kata Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg, yang juga penganjur
Kejuaraan Cub Prix dalam satu kenyataan, semalam.
Pihak Safe Aim Mutual juga berhasrat menghidupkan semula Kejuaraan Mini Cub Prix yang dikhaskan untuk pelumba cilik berusia enam sehingga 12 tahun.