MELBOURNE: Bukan Covid-19 yang menakutkan penganjur tenis Terbuka Australia, sebaliknya kecederaan bintang utama seperti Naomi Osaka, Serena Williams dan Simona Halep menjelang pembukaan kejohanan esok.
Juara bertahan perseorangan wanita, Sofia Kenin turut berdepan masalah sama apabila mengalami ketegangan pangkal paha sejurus menjalani tempoh kuarantin dua minggu.
Bekas pemain lelaki No. 1 dunia, Rafael Nadal juga bergelut dengan kecederaan belakang yang memaksanya menarik diri pada separuh akhir Piala ATP kelmarin.
Pemain No. 3 dunia, Osaka dalam ciapannya di Twitter WTA berkata, dia terpaksa menarik diri di separuh akhir Piala Gippsland ekoran kecederaan.
“Maaf kepada Tenis Australia dan peminat kerana terpaksa menarik diri hari ini (semalam).
“Saya mengalami kecederaan dan tidak selesa, selain Terbuka Australia semakin dekat. Saya perlu berhati-hati dan berharap dapat bermain minggu depan,” kata bintang Jepun itu.
Juara Grand Slam 23 kali, Serena turut menarik diri daripada pertembungan separuh akhir menentang pemain No. 1 dunia, Ashleigh Barty.

Williams, 39, menyingkirkan rakan senegaranya dari Amerika Syarikat, Danielle Collins 6-2, 4-6, 10-6 di Yarra Valley Classic tetapi menarik diri beberapa jam kemudian.
Terdahulu, juara Terbuka Australia dua kali, Victoria Azarenka menarik diri di suku akhir bertemu Anett ekoran.
Dalam pada itu, Sofia berkata, syarat wajib menjalani kuarantin dan sesi latihan terhad menyebabkan dia mengalami kecederaan.
“Selepas dua perlawanan, kaki saya sakit sepenuhnya.
“Anda dapat melihat apabila terpaksa berkurung dalam bilik selama dua minggu, tidak bermain dan berlatih secukupnya.
“Kesannya jelas terasa apabila turun beraksi di gelanggang,” ujarnya. – AFP