JOHOR BAHRU: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal mengumumkan tiga lagi pemain baharu yang akan menyarung jersi Harimau Selatan bagi saingan Liga Malaysia musim 2021 yang dijangka bermula bulan depan.
Perkara itu diumumkan Pengarah Sukan JDT, Martin Prest dalam kenyataan di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers hari ini.
Bagaimana pun, menerusi hantaran ringkas itu tidak menjelaskan secara terperinci pemain baharu itu sama ada melibatkan pemain import atau tidak.
Menurut Martin, Harimau Selatan bakal melalui minggu yang sibuk kerana mempunyai empat projek yang akan diumumkan dalam beberapa minggu ini sebagai persediaan untuk kempen 2021.
“Pertama, Harimau Selatan akan mengenalkan tiga pemain baharu diikuti dengan ‘JDT Cycling Studio’ yang kini dalam pembinaan.
“JDT akan melancarkan jersi ‘Home’ dan ‘Away’ pada 24 Februari manakala ‘docu-series’ Fearless yang dinanti-nantikan dijangka disiarkan bulan ini juga,” katanya dalam kenyataan hari ini.