BOLOGNA: Bekas pelumba Ducati, Andrea Dovizioso menuntut Repsol Honda memberi motor yang kompetitif sebagai syarat jika menginginkan dia mengisi posisi Marc Marquez dalam saingan MotoGP musim ini.
Kata pelumba berusia 34 tahun itu, permintaan tersebut wajar memandangkan dia tidak mahu kehadirannya sekadar tangkap muat, selain memasang impian untuk mengharumkan nama pasukan tersebut.
Pelumba kelahiran Itali itu menegaskan, bukan masanya untuk dia ‘bermain-main’ di atas trek lagi seandainya kembali bermula di MotoGP.
“Saya sebenarnya tidak terlalu berharap untuk kembali ke saingan MotoGP. Walaupun saya tidak menjadi pelumba MotoGP tapi sekurang-kurangnya saya berlumba untuk motocross.
“Bagaimanapun jika saya ditakdirkan untuk menggantikan tempat Marc, saya mahu Honda menyediakan motosikal yang kompetitif.
“Sasaran saya adalah meraih podium dan menang, bukan hadir dan melengkapkan pelumbaan semata-mata,” ujar Dovizioso.
Marquez sehingga kini masih belum diketahui kedudukannya untuk memulakan saingan MotoGP 2021 selepas bergelut untuk pulih sepenuhnya sejak mengalami kecederaan lengan kanan pada Julai tahun lalu.
Selepas lapan tahun,Dovizioso kini bergerak solo apabila sah ‘bercerai’ dengan Ducati susulan perselisihan
faham di antara mereka.– AGENSI