IPOH: Bekas pemain tengah kebangsaan, Hafiz Kamal antara pemain yang sah akan mewakili MNY FC Ipoh dalam kancah Liga M3 2021 bermula Jun nanti.
Pemain kelahiran Pantai Remis berusia 34 tahun itu sudah mengikat kontrak dengan kelab yang menjadi salah satu daripada empat wakil Perak ke pertandingan itu.
Hafiz tidak asing lagi dalam kancah bola sepak tempatan selepas menempah kegemilangan bersama Pahang dan Selangor sebelum pulang ke pasukan negeri asalnya, Perak pada musim 2017.
Bagaimanapun malang menimpa pemain itu apabila mengalami kecederaan lutut dan terpaksa menjalani pembedahan pada pertengahan musim 2017.
Walaupun kembali beraksi pada 2018 tetapi Hafiz menghadapi kesukaran mendapat sentuhan lama dan berpindak ke pasukan PKNP FC pada 2019.
Pemain itu kemudian berpindah ke Kuala Lumpur Rovers tahun lalu.
“Saya sudah bebas dari kecederaan. Cuma kini perlu berusaha mendapatkan kembali kecergasan kerana berehat panjang gara-gara Covid-19
“Latihan hanya terbatas pada joging. Bagaimanapun selepas ini kami akan berlatih sepenuh masa,” katanya ketika ditemui semada sesi pemilihan pasukan itu baru-baru ini.
Selain Hafiz, MNY juga mendapat khidmat bekas pemain negeri, R. Surendran yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), kelab itu.
Surendran dalam sidang akhbar berkata, penubuhan pasukan bertujuan memberi peluang kepada bakat muda menunjukkan kebolehan dalam permsinan itu.
Katanya, pasukan itu mengalakkan pemain berusia bawah 25 tahun menyertainya sambil memberi peluang kepada bekas pemain yang belum punyai pasukan.
Katanya, matlamat MNY bukan memburu gelaran tetapi sebagai pentas membimbing dan memupuk bakat baharu untuk diketengahkan.
Menurutnya, ujian pemilihan selama dua hari itu disertai lebih 100 termasuk dari Kuala Lumpur dan bekas pemain Perak II. – UTUSAN