Haaland ubah nasib Dortmund - Utusan Malaysia

Haaland ubah nasib Dortmund

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEVILLE, Sepanyol: Baru berusia 20 tahun, namun Erling Braut Haaland memberi pengaruh besar ketika Borussia Dortmund menundukkan Sevilla 3-2 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah di tempat lawan hari ini.

Dua gol penyerang Norway itu memastikan Dortmund membawa pulang bekalan selesa dalam perlawanan pertama pusingan 16 akhir di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan.

Suso meletakkan juara Liga Europa musim lalu, Sevilla di depan seawal minit ketujuh, namun Mahmoud Dahoud menyamakan kedudukan dan Haaland memastikan kemenangan.

Haaland sudah meledak 18 gol dalam 13 penampilan Liga Juara-Juara sejak permulaan musim lalu.

Pemain gantian Luuk de Jong berjaya merapatkan jurang buat Sevilla bagi menghidupkan peluang dalam aksi timbal balik 9 Mac ini.

“Kami tidak sepatutnya kalah dalam perlawanan ini.

“Bagaimanapun lawan mempunyai seorang penyerang terbaik dunia dan dia membawa perbezaan dalam tiga situasi yang sepatutnya boleh dielakkan,” kata jurulatih Sevilla, Julen Lopetegui mengenai Haaland.

Haaland turut membuat umpanan untuk gol penyamaan Dahoud pada babak pertama.

“Ini antara persembahan terbaik kami musim ini.

“Kami gembira dengan keputusan ini dan bangga menewaskan pasukan hebat seperti Sevilla di tempat mereka,” kata pengendali Dortmund, Edin Terzic. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN