Fernandes ketuai kemenangan United - Utusan Malaysia

Fernandes ketuai kemenangan United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Dua gol Bruno Fernandes membantu Manchester United membenam Real Sociedad 4-0 dalam aksi pertama pusingan 32 terakhir Liga Europa hari ini, manakala Gareth Bale menyerlah ketika Tottenham menumpaskan wakil Austria, Wolfsberg 4-1.

Dengan meledak empat gol di tempat lawan United membawa pulang bekalan terbaik untuk aksi timbal balik bulan depan.

“Kami tahu 4-0 keputusan yang baik tetapi kami harus berwaspada dengan apa yang mampu dilakukan lawan.

“Sasaran saya adalah menjaringkan gol sebanyak mungkin kerana itu tugas saya. Kami mahu memenangi trofi,” kata Fernandes.

Gergasi Liga Perdana itu mendahului pada minit ke-27 apabila Fernandes menghukum kesilapan pertahanan lawan dengan menyempurnakan hantaran Marcus Rashford.

United menggandakan kedudukan 12 minit pada babak kedua apabila Fernandes meledak gol ke-21 peribadi musim ini.

Jaringan itu pada mulanya dikatakan ofsaid sebelum melihat rakaman video bantuan pengadil (VAR).

United terus menguasai permainan dan Rashford akhirnya menjaringkan gol pada minit ke-65 menerusi serangan balas pantas dimulakan penjaga gol, Dean Henderson.

Pertembungan itu berakhir apabila James melepaskan diri dan meledak ke penjuru gawang pada penghujung saingan.

GANDINGAN Gareth Bale (kiri) dan Son Heung-min cemerlang.

Dalam aksi Tottenham, Bale mencipta bantuan gol pertama untuk pasukan itu sejak April 2013 selepas gerakan bersama Son Heung-min menghasilkan gol pembukaan.

Jaringan menarik Lucas Moura memastikan Spurs selesa mendahului pada separuh masa pertama.

Sekalipun Michael Liendl merapatkan jaringan buat wakil Austria selepas menyempurnakan penalti, Tottenham bagaimanapun meletakkan sebelah kaki untuk mara ke peringkat seterusnya apabila Carlos Vinicius menjaringkan gol pada minit ke-88. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya