PETALING JAYA: Ibarat jatuh ditimpa tangga. Itu nasib bekas pemain beregu wanita negara, Vivian Hoo menjelang sambutan Tahun Baharu Cina esok.
Minggu lalu, Vivian digugurkan daripada skuad badminton kebangsaan secara mengejut iaitu tidak lama selepas dia terpaksa menutup pusat penjagaan wanita bersalin yang diusahakan akibat pandemik Covid-19.
Daripada seorang pemain hebat yang pernah memenangi pingat emas Sukan Komanwel, Sukan SEA, selain melakar sejarah muncul beregu wanita pertama Malaysia meraih pingat Sukan Asia dalam tempoh 44 tahun di temasya Incheon 2014, Vivian kini hilang segalanya.
Kata Vivian, 31, dia ketika ini masih ‘terkejut’ dan tidak punya perancangan kerana sebagai pemain beregu sukar buatnya meneruskan kerjaya secara profesional disebabkan tidak mempunyai pasangan pemain.
“Buat masa sekarang memang saya tiada apa-apa perancangan, nak teruskan karier saya tiada pasangan bukan macam perseorangan, boleh terus cari penaja.
“Memang terkejut jadi macam ini sebab cepat sangat, saya tidak dapat buat apa-apa persediaan, jadi duduk rumah sahaja untuk sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarga.
“Saya pun sudah lama tidak meluangkan masa dengan keluarga pada hari macam ini. Sekarang saya akan duduk di rumah dan bertenang dulu sebelum memikirkan langkah seterusnya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Vivian antara beregu wanita terbaik sepanjang bergandingan bersama Woon Khe Wei, malah melangkah ke suku akhir Sukan Olimpik Rio 2016.
Begitupun, persaraan Khe Wei pada 2018 akibat kecederaan panjang menyebabkan dia sering bertukar pasangan.
Akibatnya, Vivian gagal memberi aksi konsisten bersama beberapa gandingan yang diberikan sebelum akhirnya digugurkan BAM, badan yang dinaungi sejak berusia 13 tahun.
Mengulas mengenai perniagaan yang diusahakan bersama rakannya, My Love yang terletak di Klang, Vivian memberitahu, dia terpaksa melupakannya kerana pandemik Covid-19.
Katanya, pelanggan tidak berani datang ke pusat penjagaan itu dan atas sebab keselamatan, dia terpaksa menutup perniagaan buat sementara waktu.
“Perniagaan saya terpaksa tutup seketika bermula awal tahun ini.
“Covid-19 membuatkan semua peniaga terkesan temasuk saya.
“Pemilik premis juga tidak mahu mengurangkan sewa bangunan, kos bulanan juga sangat tinggi, jadi kami terpaksa tutup dahulu dan saya tidak pasti bila boleh buka semula,” katanya.