PETALING JAYA: Bekas pemain kebangsaan, Arif Abdul Latif memberi bayangan akan kembali beraksi secara kompetitif dalam acara beregu namun menafikan dia bakal bergandingan bersama Vivian Hoo.
Vivian antara lima pemain yang digugurkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), minggu lalu dan kini sedang mencari pasangan untuk meneruskan kariernya sebagai pemain profesional.
Arif yang juga pemenang pingat perak Sukan SEA 2017 bagaimanapun, hanya akan mendedahkan nama pasangannya itu selepas segala urusan berkaitan penajaan selesai sepenuhnya.
Bekas pemain berusia 32 tahun itu memberitahu, selepas lebih setahun bersara, dia mengakui banyak usaha yang perlu dilakukannya untuk mengembalikan kecergasan sebelum melangkah ke arena kompetitif.
“Bukan Vivian, saya sendiri pun masih belum berjumpa dengan dia selepas dia digugurkan daripada skuad kebangsaan tetapi saya akan bermain dalam acara beregu lelaki.
“Buat masa sekarang nama saya tidak boleh bagi tahu tetapi pasangan saya dari Indonesia. Dia sudah dua ke tiga tahun keluar daripada skuad kebangsaan.
“Sekarang ini saya fokus kepada penajaan dahulu. Kalau semua berjalan dengan baik saya akan memulakan perancangan berhubung kejohanan dan sebagainya, mungkin lalu
Sukan Olimpik Tokyo kami akan kembali beraksi,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Arif sebelum ini pernah menjadi naib juara Kejohanan Badminton Remaja Asia 2007 di Kuala Lumpur dan kelibatnya sering dibandingkan dengan juara pertandingan itu, Chen Long yang pernah merajai dunia badminton.