LIVERPOOL: Jurgen Klopp berang dengan benteng Liverpool kerana menghadiahkan kemenangan pertama buat musuh tetangga, Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield sejak 1999.
Kekalahan 0-2 hari ini menyaksikan Liverpool kini tewas empat perlawanan liga berturut-turut di Anfield buat kali pertama sejak 1923.
Sejurus tamat perlawanan, Anfield bertukar biru apabila pemain Everton ‘berpesta’ meraikan kemenangan dalam bilik persalinan.
Reds dihukum atas kesilapan dua pertahanan, Ozan Kabak dan Trent Alexander-Arnold.
Kabak menjadi punca kepada gol pembukaan Everton yang disempurnakan Richarlison pada minit ketiga.
Alexander-Arnold menyebabkan Everton mendapat sepakan penalti di minit ke-83 yang disempurnakan Gylfi Sigurdsson.
“Sukar untuk ditelan tetapi kami dibolosi dengan gol awal yang tidak sepatutnya. Kami perlu bertahan dengan lebih baik.
“Saya tidak suka bercakap tentang perkara baik hari ini kerana kami kalah. Kami juga perlu memperbaiki penyudah, barulah kami boleh menang,” kata Klopp.
Kekalahan terbaru menyebabkan Liverpool ketinggalan tiga mata di belakang kelompok empat teratas selepas kalah buat kali pertama kepada Everton sejak 2010. – AFP