PETALING JAYA: Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen menutup kempen kejohanan badminton Jelajah Dunia Akhir dengan kekalahan ketiga berturut-turut kepada pilihan ketiga dari Korea Selatan.
Selepas dua kekalahan dalam kejohanan bernilai AS$1.5 juta (RM6.07 juta) itu, pasangan No.2 negara itu tewas 12-21, 16-21 kepada gandingan Lee So Hee-Shin Seung Chan yang berjaya mengesahkan slot separuh akhir menerusi kemenangan tersebut hari ini.
Sementara itu, beregu wanita No.1 negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yen akan melengkapkan aksi terakhir peringkat kumpulan petang ini dengan aksi menentang pilihan utama kejohanan dari Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu sebentar lagi.
Selain itu, perseorangan No.1 negara, Lee Zii Jia akan menentang Anthony Ginting dari Indonesia bagi melengkapkan saingan Kumpulan A. Zii Jia sudahpun tersingkir awal dari kejohanan.
Dalam beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik masih berpeluang melangkah ke separuh akhir sekiranya melakar kejutan ke atas gandingan berpengalaman Indonesia, Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan yang juga memerlukan kemenangan bagi mencari tiket ke peringkat empat terbaik.
Satu lagi beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin perlu menewaskan gandingan England, Ben Lane-Sean Vendy bagi mengesahkan slot separuh akhir.
Pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lain juga perlu menang ke atas gandingan Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emmanuel Widjaja untuk mara ke separuh akhir selepas dikejutkan gandingan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue dalam aksi kedua, semalam. – UTUSAN ONLINE