Terima kasih Shalin, 28 tahun tabur bakti buat negara - Utusan Malaysia

Terima kasih Shalin, 28 tahun tabur bakti buat negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengucapkan terima kasih kepada ratu boling, Shalin Zulkifli di atas sumbangannya mengharumkan nama negara dalam arena sukan sepanjang 28 tahun.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, jauh di sudut hati, beliau masih berharap dapat melihat Shalin terus mewakili negara dalam sukan itu dan mengakui persaraan atlet berusia 42 tahun itu merupakan detik sukar kepada sukan negara.

Katanya, sepanjang tempoh 28 tahun di samping meraih hampir 100 pingat dalam kejohanan yang disertainya meletakkan nama Shalin sebagai atlet boling wanita paling berjaya.

“Saya mengambil maklum pengumuman Shalin Zulkifli tentang persaraanya dari mewakili negara dalam bidang sukan boling pada hari ini.

Hasrat Shalin ini telah pun dimaklumkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) kepada saya terlebih dahulu dan ternyata ia merupakan detik yang sukar kepada sukan negara.

“Semestinya juga, jauh di sudut hati kita sentiasa berharap untuk melihat kelibat Shalin mempamerkan aksi beliau di arena boling negara.

“Sungguhpun begitu, keputusan beliau ini kita hormati dan terima sepenuhnya setelah 28 tahun beliau menyumbang bakti mengharumkan nama negara hingga ke persada antarabangsa dengan hampir 100 pingat diraih oleh beliau,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Reezal, beliau telah meminta MSN meneruskan perbincangan dengan Shalin khusus tentang perancangan masa depannya.

Reezal Merican Naina Merican

“Beliau seorang atlet yang berjiwa besar serta banyak terlibat dalam beberapa program yang melibatkan sokongan kebajikan kepada atlet negara.

“Antara sumbangan beliau termasuklah sebagai Pengerusi, Suruhanjaya Atlet Majlis Olimpik Malaysia di samping sumbangan beliau kepada KBS dan MSN dalam gerakan pembangunan wanita dalam sukan. Ini menunjukkan betapa besarnya jiwa sukan yang ada dalam diri beliau.

“Sekali lagi, saya secara peribadi, mewakili KBS, para peminat sukan serta seluruh rakyat Malaysia merakamkan ucapan terima kasih kepada Shalin atas segala sumbangan beliau kepada negara selama ini.

“Penghargaan juga ditujukan kepada keluarga, pihak pengurusan, jurulatih serta pasukan boling negara yang turut memberi sumbangan secara langsung mahupun tidak langsung dalam melahirkan seorang bintang dan jaguh sukan bernama Shalin,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya