LONDON: Conor McGregor sangat teruja untuk menentang legenda tinju, Manny Pacquiao selepas mendapat perkhabaran pertarungan itu akan berlangsung tahun ini.
Bintang UFC itu sebelum ini pernah bertarung dengan seteru Pacquiao, Floyd Mayweater pada 2017 dan kini mahu berdepan petinju Filipina itu.
Pertembungan kedua-dua pertarung itu bakal menarik minat ramai selepas lebih empat juta penonton menyaksikan aksi berbayar ketika McGregor bertarung dengan Mayweather.
McGregor, 32, sedang mempersiapkan diri untuk pertarungan pertama dalam Octagon tahun ini menentang Dustin Poirier pada 23 Januari dan pada masa sama memberi bayangan, Pacquiao akan menjadi lawan berikutnya.
“Saya tahu pertarungan itu sering disebut-sebut tahun ini.
“Saya teruja dengan pertarungan menentang Manny Pacquiao dan saya percaya ia akan berlangsung tahun ini. Bila tarikhnya? Saya tidak pasti.
“Kami perlu berbincang dengan Dana White dan UFC mengenai perkara ini,” katanya.
McGregor diketahui memiliki kehebatan bertinju dan kekuatan tumbukannya memberi 19 kemenangan daripada 22 pertarungan menerusi keputusan knockout dalam aksi bela diri campuran. – AGENSI