LONDON: Selepas ‘membeku’ di Arsenal, Mesut Ozil akhirnya akan bebas apabila menyertai kelab Turki, Fenerbahce dengan perjanjian tiga tahun setengah.
Biarpun antara penerima gaji tertinggi di Emirates, namun pemenang Piala Dunia Jerman yang menikmati 350,000 (RM1.9 juta) seminggu itu tidak bermain buat musim kedua bersama Gunners.
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta menyisihkan bintang tengah berusia 32 tahun itu daripada skuad Liga Perdana dan Europa dalam usahanya ‘mengusir’ Ozil.
Memasuki enam bulan terakhir kontraknya, Ozil yang menyertai Aesenal pada 2013 bebas berunding dengan mana-mana kelab.
Sejak beberapa minggu lalu dia dikaitkan dengan perpindahan ke Amerika Syarikat (AS) dan Turki.
Agensi berita Turki, DHA bagaimanapun mendakwa penderitaannya di Arsenal bakal berakhir selepas bersetuju untuk menyertai kelab gergasi negara itu, Fenerbahce.
Ozil dipercayai menolak tawaran kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) AS, DC United. – AGENSI