Reds dalam dilema, kekal atau jual Salah? - Utusan Malaysia

Reds dalam dilema, kekal atau jual Salah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Liverpool berdepan cabaran hebat untuk mengekalkan Mohamed Salah selepas bintang Mesir itu menjadi sasaran No. 1 gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Nama Salah, 28, berada dalam senarai ‘beli-belah’ pengendali Los Blancos, Zinedine Zidane yang kini dalam misi mengembalikan kelab itu sebagai kuasa bola sepak Eropah.

Salah mempamer aksi cemerlang dan konsisten bersama Reds sejak beberapa musim lalu, malah menjadi watak utama yang membawa Liverpool muncul juara Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.

Aksinya kurang menjadi beberapa minggu ini selepas Liverpool gagal memenangi tiga perlawanan terakhir liga, namun itu tidak menghalang Real daripada meletakkannya sebagai keutamaan.

Real kini menghuni tangga kedua La Liga, dua mata di belakang pendahulu, Atletico Madrid yang memiliki kelebihan dua perlawanan.

Skuad Zidane menggalas tanggungjawab berat, wajib menutup setiap musim dengan trofi, namun mereka tidak banyak berbelanja untuk menguatkan pasukan musim ini.

Salah mempunyai baki dua tahun kontrak di Anfield, dan Pengarah Sukan Liverpool, Michael Edwards bakal berdepan dilema sama ada mahu mengekalkan bintang Mesir itu atau melepaskannya.

Sebaik sahaja pemain memasuki 12 bulan terakhir kontrak, maka kuasa beralih tangan dan kelab tidak lagi dapat menuntut bayaran yang besar.

Bermakna, Reds hanya mendapat harga terbaik jika mereka menjual Salah dalam masa terdekat, namun pada masa sama pemain itu adalah tonggak penting pasukan.

Baru-baru ini, ketika ditanya mengenai kemungkinan akan beralih angin ke La Liga, Salah menjawab: “Saya fikir Real Madrid dan Barcelona kelab kelab terbaik.” – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN