LONDON: Paris Saint-Germain (PSG) mungkin tidak mampu mendapatkan khidmat Lionel Messi kerana tuntutan gajinya yang tinggi, kata pakar bola sepak Perancis, Julien Laurens.
Messi, 33, memasuki enam bulan terakhir kontraknya dan dia kini bebas berunding dengan mana-mana kelab secara percuma.
PSG dan Manchester City dua pasukan yang memiliki kemampuan kewangan untuk membawa masuk pemenang Ballon d’Or enam kali itu.
Bagaimanapun Laurens meragui apakah PSG boleh membayar gaji Messi yang amat tinggi tanpa melepaskan pemain bintang lain kerana terikat dengan peraturan Financial Fair Play (FFP).
“Dengan FFP, pandemik (Covid-19) dan sejauh mana PSG terjejas, saya tidak tahu bagaimana situasi sekarang.
“Katakan, anda membayar 30 juta euro (RM148.55 juta) setahun untuk Neymar, Messi 60 juta euro (RM297.10 juta) dan (Kylian) Mbappe menikmati jumlah yang sama dengan Neymar.
“Tiga ini saja hampir mencecah 150 juta euro (RM742.75 juta). Itu baru gaji, setiap tahun. Secara kewangan, ia amat mustahil tapi mereka kata mahu mencuba, namun saya tidak rasa ia realistik,” katanya kepada Sky Sport.
Jika PSG gagal mendapatkan Messi, bermakna ia berita baik buat City yang bercita-cita besar untuk menggabungkan semula penyerang Argentina itu dengan bekas pengurusnya di Barcelona, Pep Guardiola.
Messi yang turut dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Bola Sepak Utama (MLS) kembali menemui prestasi terbaik dengan meledak dua gol ketika membantu Barcelona membelasah Granada 4-0, Sabtu lalu.
Calon Presiden Barcelona, Agusti Benedito minggu lalu mendedahkan, Messi boleh meninggalkan Camp Nou tahun ini. – AGENSI