Perak bukan mangsa politik - Utusan Malaysia

Perak bukan mangsa politik

KHAIRUL SHAHRIL MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGUAN MALAYSIA: Apa yang boleh diperkatakan tentang peletakan jawatan Ahmad Faizal?

KHAIRUL SHAHRIL: Saya dan kepimpinan kerajaan negeri terkejut peletakan jawatan Peja (Ahmad Faizal dan Datuk Adly (Shah Ahmad Tah, Timbalan Presiden Pafa) secara serta-merta. Kami tahu dalam media sosial. Apa pun kerajaan negeri mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti yang mereka taburkan kepada Perak khususnya pembangunan bola sepak negeri.

Sebelum ini ada bincang mengenai kedudukan Ahmad Faizal dalam Pafa?

Mengikut persefahaman kita, peralihan kepimpinan Pafa akan berlaku dalam Kongres Pafa, malah Peja sendiri maklumkan akan dilakukan bulan ini. Sebenarnya itu yang kita tunggu tapi maksud ‘tunggu’ bukan kita nak ambil alih tapi kita tunggu jika beliau ingin meneruskan sebagai Presiden Pafa, kita alu-alukan tapi jika dia ingin melepaskan jawatan dalam kongres itu nanti, kita akan bincang untuk memikirkan siapa calon terbaik boleh diletak selaku presiden.

Dakwaan Ahmad Faizal, Pafa mengalami masalah kewangan?

Masalah kewangan sehingga gaji tertunggak, itu kita tak dapat maklumat secara rasmi. Kita dapat tahu secara tak rasmi melalui perbincangan-perbincangan tak formal antara saya dan Peja. Kita sebenarnya faham ke­adaan semasa, sebab itu dalam ke­nyataan saya sebelum ini kita akan memastikan perkara ini dapat diselesaikan.

Berapa jumlah tunggakan gaji?

Saya dimaklumkan sebulan setengah iaitu sebulan untuk gaji bulan 11 (November) dan setengah bulan gaji Disember, jumlah­nya RM3.8 juta tapi ia bukan melibatkan gaji dan elaun Liga Super sahaja, sebaliknya keseluruhan pasukan Liga Super, Perak II, Piala Presiden, Belia dan ­futsal.

Ada usaha menyelesaikannya?

Saya berusaha menyelesaikan perkara ini kerana pemain ada tanggungan dan komitmen. Cuma ada kekangan sebab itu ia mengambil masa agak panjang. Saya sudah bincang de­ngan Pegawai Kewangan Negeri dan memberi maklumat awal kepada Menteri Besar. Namun, dalam keadaan hujung tahun yang mana semua pihak menutup akaun, ia bukan perkara mudah untuk dapatkan satu sumber yang besar RM3.8 juta. Perlukan banyak proses. Tapi kerajaan negeri mengusahakan agar perkara ini dapat ­dijayakan.

Kerajaan negeri enggan beri dana selagi Ahmad Faizal me­nerajui Pafa?

Ia sama sekali tidak berlaku. Saya sendiri telah bincang de­ngan Menteri Besar meminta mereka terus pegang jawatan dalam Pafa selaku presiden dan timbalan presiden. Kita tak ada masalah dengan Peja dan Adly, sebab itu kita kata, teruskan. Tiada niat langsung untuk tidak memberi dana. Tuduhan itu saya sangkal sama sekali kerana Peja juga sahabat kita yang ba­nyak berjasa kepada negeri dan Pafa.

Bagaimana Pafa selepas Ahmad Faizal letak jawatan?

Kita tidak ada perancangan khusus kerana pada saya Pafa masih ada jawatankuasa sendiri terdiri daripada tiga naib pre­siden dan exco. Mereka boleh menjalankan tugas dan berpe­ngalaman mengurus Pafa.

Siapa layak menggantikan Ahmad Faizal?

Jika tanya saya, Menteri Besar paling layak, namun terpulang kepada beliau mahu menerima atau tidak. Selaku exco Belia dan Sukan saya sedia membantu siapa yang akan dilantik Presiden Pafa. Perlu difahami lantikan Presiden dan Timbalan Presiden mesti dilakukan dalam Kongres Pafa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya