KOTA BHARU: Pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman mendedahkan beliau terlebih dahulu menghubungi Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu pemotongan tiga mata ke atas The Red Warriors (TRW) sejurus perkara tersebut mendapat liputan meluas akhbar tempatan.
Norizam atau Zamsaham berkata, bagaimanapun panggilan tersebut tidak dijawab oleh Setiausaha Agung badan induk itu.
“Mungkin beliau sibuk ketika itu. Saya hubungi beliau pada pukul 3.22 petang semalam (14 Januari 2021) selepas sebuah akhbar tempatan melaporkan perkara itu (Kelantan FC boleh dipotong 3 mata) jam 3.19 petang,” katanya menerusi entri laman sosial Facebook miliknya hari ini.
Zamsaham memberitahu, sebagai Setiausaha Agung FAM, Stuart sepatutnya menyiasat dan menyemak wartawan yang telah memutar belit tajuk dan kenyataan yang dibuat olehnya sendiri jika ia benar-benar berlaku.
Katanya, langkah itu tepat masyarakat terutama penyokong Kelantan FC menganggap berita yang keluar di akhbar adalah sesuatu yang rasmi.
“Sebaiknya, sebelum nak buat kenyataan, Stuart sewajarnya memaklum atau ‘consult’ terlebih dahulu pada pihak pengurusan Kelantan FC.
“Eloklah…jangan persalahkan dan mencari silap orang lain sahaja tanpa mengkaji prosedur operasi standard (SOP) kenyataan media yang sepatutnya beliau lakukan,” ujarnya.
Semalam, FAM dalam satu kenyataan meminta Norizam supaya tidak terburu-buru dan ‘menyerang’ badan induk itu tanpa memeriksa kesahihan fakta terlebih dahulu.
Ini selepas Norizam meluahkan ketidakpuasan hatinya susulan laporan media yang menyatakan badan induk itu akan mengenakan pemotongan tiga mata kepada pasukan itu jika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal melunaskan tunggakan gaji 11 bekas pemainnya.
Stuart menafikan pihaknya mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media mengenai pemotongan mata seperti yang dilaporkan.