KUALA LUMPUR: Pahit tapi harus ditelan.
Itu perkataan paling sesuai buat pasukan Liga Malaysia (Liga M) selepas saingan liga tempatan yang sepatutnya bermula 26 Februari ini ditunda ke 5 Mac.
Begitupun apa yang menyedihkan, Piala FA tidak akan diadakan buat musim kedua berturut-turut.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang menyifatkan keputusan yang diambil Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) amat tepat ekoran pandemik Covid-19 yang masih mengganas.
“Pertimbangan MFL bergantung kepada arahan kerajaan. Yang penting kita bantu kerajaan dan ambil perkara ini sebagai positif walaupun Liga M ditunda.
“Dalam masa sama, semua pasukan mempunyai masa membuat persiapan selepas melakukan latihan secara dalam talian ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak sehingga 4 Februari.
“Memang kita juga harap perlawanan yang ditunda tidak ambil masa yang terlalu lama untuk dimulakan kerana bola sepak juga industri besar. Selain dari segi penajaan” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Mengulas mengenai pembatalan Piala FA, Suffian berkata, keputusan diambil mungkin kerana keadaan semasa dan jadual padat.
“Kalau diteruskan, jadual akan padat kerana ia melibatkan banyak pasukan bertanding termasuk Liga M3. Lebih baik fokus liga dan Piala Malaysia kerana kita tak tahu bila Covid-19 akan berakhir,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan dalam satu kenyataan berkata, keputusan menunda liga dibuat dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah secara dalam talian, selain mengambil pandangan dan persetujuan wakil-wakil pasukan dalam satu taklimat khas.
Liga M 2021 sepatutnya dimulakan dengan aksi Sumbangsih di antara Johor Darul Ta’zim menentang Kedah pada 26 Februari.
Sementara itu, CEO Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kamal Idris Ali melihatkan langkah yang diambil MFL adalah tepat.
“Jika kita lihat situasi semasa Covid-19, ia belum menunjukkan tanda penurunan kerana kes masih mencatat jumlah ribuan,” katanya.