LONDON: “Di mana kamu, di mana kamu, di mana kamu di Istanbul?.”
Nyanyian penyokong Liverpool pada perlawanan Boxing Day 2005 di Anfield masih terngiang-ngiang di telinga Michael Owen sehingga hari ini.
Owen yang ketika itu menyarung jersi Newcastle hanya mampu melihat pasukannya kalah 0-2 kepada Reds.
Apabila Owen kembali ke Anfield buat kali pertama selepas 18 bulan meninggalkan Liverpool, dia boleh melihat peminat memegang ‘trofi Piala Eropah, yang diperbuat daripada kertas timah dan kad.
Semua itu mengingatkan penyerang tersebut apa yang dia terlepas sejak meninggalkan kelab.
Liverpool menjulang kejuaraan Eropah kelima di Istanbul pada 25 Mei 2005 selepas menewaskan AC Milan.
Kata Owen, dia bertambah terluka kerana tindakannya menyertai musuh ketat Reds, Manchester United pada 2008 menyebabkan dia ‘dibenci’ penyokong Liverpool.
Owen, 42, adalah produk akademi bola sepak Liverpool dan bermain untuk skuad senior dari 1996 hingga 2004.
Bekas penyerang England itu bagaimanapun meninggalkan Anfield untuk mengembangkan sayapnya di Real Madrid sebelum ke Newcastle.
Begitupun pada 2009, dia mengejutkan penyokong Liverpool dengan menyertai United.
“Jika saya katakan tidak kepada Manchester United, saya mungkin perlu bersara ketika itu. Saya lakukan semua yang boleh (selamatkan karier). Tiada apa lagi dapat saya lakukan.
“Saya sedar akibat yang perlu ditanggung ketika itu, tak boleh kembali (ke Liverpool).
“Ketika saya kembali ke Anfield penyokong mengejek, dan ia terasa seperti jantung ditusuk belati atas apa yang saya lakukan kepada kelab. Itulah yang saya rasa,” kata Owen kepada Off The Ball.
Owen yang dilahirkan di Chester, di luar Liverpool, memberitahu legenda Liverpool, Jamie Carragher di podcast Greatest Game bahawa meninggalkan kelab itu seperti ‘berpisah dengan isteri kamu’.
“Saya sangat sedih apabila kembali ke Anfield. Saya menangis dalam bilik pemain dan berharap tiada siapa yang melihat. Ia menyakiti saya untuk sekian lama.
“Ia seperti berpisah dengan isteri anda. Saya hanya boleh menyalahkan diri sendiri. Ketika saya terima tawaran Real Madrid, saya masih sayangkan Liverpool,” kata Owen.
Owen membuat pendedahan itu beberapa menjelang pertemuan Liverpool dan United dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Ahad ini.