KUALA LUMPUR: Peningkatan kes positif Covid-19 dalam kejohanan badminton Terbuka Thailand membuatkan pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying sukar tidur lena.
Di sebalik prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan Persatuan Badminton Thailand (BAT), pertandingan itu tetap mencatat beberapa kes positif dengan terkini melibatkan jurulatih Jerman dan seorang delegasi Perancis.
Pemain berusia 31 tahun itu mengakui, kebimbangan menyelubunginya setiap kali berjumpa atau berlatih dengan pemain lain.
Katanya, sebelum ini dia hanya fikir mengenai aksi dalam gelanggang tetapi sekarang terpaksa memikirkan Covid-19 yang menular dalam pertandingan walaupun tidak dapat dipastikan jumlah sebenar.
“Memang kalau diikutkan SOP mereka sangat ketat, banyak perkara tidak boleh buat.
“Macam naik bas, semua pemain dipisahkan, selepas itu bas akan dibersihkan menggunakan pembasmi kuman sama seperti gelanggang latihan, semua akan dicuci selepas guna.
“Perkara macam ini memang membimbangkan.
“Semalam saya ada terfikir sebelum tidur kami tidak tahu siapa yang positif kerana bukan hari ini kena hari ini tahu, perlu masa tujuh hingga 14 hari,” kata beregu campuran negara itu kepada Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tiada rancangan untuk membawa pulang semua pemain negara yang kini berada di Bangkok.
Badan badminton itu yakin SOP yang ditetapkan BWF dan BAT menjadikan keadaan terkawal, apatah lagi pemain yang positif dikuarantin di hospital.
“Saya tidak pasti keadaan sebenar di sana kerana saya hanya baca laporan yang diberi tapi saya percaya SOP mereka sangat ketat dan semua perlu mematuhinya,” kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.
Selasa lalu, BWF mengesahkan pemain beregu Mesir, Adham Hatem Elgamal menarik diri daripada kejohanan akibat positif Covid-19.