PETALING JAYA: Beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean melakar kejutan besar dalam kejohanan badminton Jelajah Dunia Akhir apabila menumpaskan pilihan utama dari Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu untuk melangkah separuh akhir di Bangkok sebentar tadi.
Dalam aksi di Impact Arena, gandingan Mei Kuan-Meng Yean melonjak ke kedudukan kedua Kumpulan A selepas mengalahkan Greysia-Apriyani 21-13, 21-17 untuk mengesahkan tiket ke peringkat empat terbaik dalam kejohanan bernilai AS$1.5 juta (RM6.07 juta) itu.
Meskipun ada tiga pasangan mencatat dua kemenangan dan satu kekalahan – Lee Song Hee-Shin Seung Chan (Korea Selatan), Mei Kuan-Meng Yean dan Greysia-Apriyani, namun beregu negara itu layak berdasarkan rekod pertemuan ke atas beregu Indonesia.
Malaysia berpeluang memiliki tiga lagi wakil ke saingan separuh akhir sekiranya pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menewaskan pilihan ketiga dari Indonesia, Muhamad Ahsan-Hendra Setiawan dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin menang ke atas Ben Lane-Sean Vendy selain Goh Soon Huat-Shevon Lai menewaskan Hafiz Faizal-Gloria Emmanuel Widjaja.