LONDON: Mikel Arteta percaya, misi Arsenal ‘sudah berbeza’ selepas membelasah West Brom 4-0 pagi tadi untuk melengkapkan kemenangan ketiga Liga Perdana Inggeris dalam tempoh lapan hari.
Sebelum pertemuan dengan Chelsea minggu lalu, Gunners melalui lapan perlawanan liga tanpa kemenangan dan bergelut di kelompok bawah liga.
Begitupun sembilan mata penuh yang dikutip dalam tiga aksi terakhir membantu Arsenal kembali merebut tempat ke saingan Liga Juara-Juara.
Mereka kini menghuni tangga ke-11 dan hanya tiga mata daripada kelompok enam teratas.
“Saya sangat gembira kami berjaya mencapai sasaran kerana kedudukan liga tampak sama sekali berbeza.
“Tenaga yang kami miliki di semua posisi lebih bagus dan kemenangan meningkatkan keyakinan. Anda boleh lihat cara pasukan ini bermain,” kata Arteta.
West Brom belum menang dalam empat perlawanan sejak Sam Allardyce memgambil alih dan bekas pengurus England itu perlu pantas memperkuatkan pertahanan jika mahu selamat.
Skuad Baggies mengejutkan Manchester City dan Liverpool dengan seri 1-1 sebelum ini, namun sudah melepaskan 12 gol dalam tiga pertemuan dipimpin Allardyce di laman sendiri.
Gol Arsenal dijaringkan Kieran Tierney pada minit ke-23, Bukayo Saka (28) diikuti dua gol Alexandre Lacazette masing-masing pada minit ke-60 dan 64. – AFP