LONDON: Gol tunggal Paul Pogba membawa Manchester United merampas takhta Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun selepas menundukkan Burnley 1-0 di Turf Moor hari ini.
United memintas juara bertahan, Liverpool dengan kelebihan tiga mata menjelang pertemuan dua pasukan teratas itu di Anfield Ahad ini.
Walaupun spekulasi mengenai masa depannya hangat diperkatakan, Pogba tetap memainkan peranan penting dalam kejayaan United mencabar kejuaraan liga buat pertama kali sejak Alex Ferguson bersara pada 2013.
Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer kini mengumpul 29 mata untuk bangkit daripada aksi lesu pada awal musim apabila sekadar melakar dua kemenangan dalam enam perlawanan pertama.
Kehadiran Bruno Fernandes selepas kemenangan 2-0 Burnley di Old Trafford hampir setahun lalu berjaya menukar nasib United.
Kejayaan mengatasi Burnley yang belum pernah tewas di laman sendiri sejak Oktober membuktikan Red Devils berupaya meraih keputusan yang hebat.
United bermula perlahan pada babak pertama, malah permainan dibayangi kontroversi ekoran beberapa penilaian video bantuan pengadil (VAR).
Permainan tertangguh lima minit untuk melihat terjahan Luke Shaw terhadap Johann Berg Gudmundsson dan kekasaran Robbie Brady ke atas Edinson Cavani.
Pengadil, Kevin Friend melayangkan kad kuning kepada Shaw dan membatalkan kad kuning Brady selepas menonton rakaman VAR. – AFP