LONDON: Manchester United dan Liverpool akan berentap di pusingan keempat Piala FA, manakala Manchester City diundi bertemu Cheltenham dari Liga Dua.
Liverpool dan United akan bertembung dua kali dalam tempoh dua minggu selepas dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris itu berentap pada saingan liga, Ahad ini.
Aksi Liga Perdana melibatkan dua musuh tradisi itu berlangsung di Anfield manakala untuk Piala FA di Old Trafford.
Kelab kerdil, Chorley yang mengejutkan Derby akan menanti kunjungan pasukan Liga Perdana, Wolverhampton.
“Inilah yang saya mahukan, iaitu bertemu lawan dari Liga Perdana. Ia sangat hebat.
“Terdapat juga sedikit sejarah kerana pada 1986, Chorley beraksi menentang Wolves di tempat sendiri dan menewaskan mereka 3-0, jadi kami perlu melakukannya sekali lagi,” kata Pengurus Chorley, Jamie Vermiglio kepada BBC Sport.
Sekiranya Chorley dapat melakukan kejutan sekali lagi, mereka akan bertemu juara bertahan, Arsenal di pusingan kelima.
Kelab Liga Dua, Crawley yang menewaskan Leeds 3-0 di pusingan ketiga akan berkunjung ke Bournemouth.
Pusingan keempat akan berlangsung sepanjang minggu dari 22 sehingga 25 Januari manakala pusingan kelima dari 9 hingga 11 Februari. – AFP
PUSINGAN KEEMPAT PIALA FA
Manchester United lwn Liverpool
Cheltenham lwn Manchester City
Bournemouth lwn Crawley
Swansea lwn Nottingham Forest
Southampton/Shrewsbury lwn Arsenal
Barnsley lwn Norwich
Chorley lwn Wolverhampton
Millwall lwn Bristol City
Brighton lwn Blackpool
Wycombe lwn Tottenham
Fulham lwn Burnley
Sheffield United lwn Plymouth
Chelsea lwn Luton
West Ham lwn Doncaster
Brentford lwn Leicester
Everton lwn Sheffield Wednesday