LIVERPOOL: Jurgen Klopp berkata, leburnya rekod 68 perlawanan tanpa kalah Liverpool di Anfield ibarat ‘tumbukan kuat di muka’ selepas juara bertahan itu dimalukan 1-0 oleh Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris hari ini.
Ini kekalahan pertama Reds dalam perlawanan liga di tempat sendiri sejak tumpas kepada Crystal Palace pada April 2017.
Ashley Barnes menghadiahkan kemenangan pertama Burnley di Anfield sejak 1974 selepas menyempurnakan sepakan penalti minit ke-83 akibat dijatuhkan penjaga gol Reds, Alisson.
“Ia seperti ditumbuk dengan kuat di muka.
“Kami menguasai bola, mencipta banyak peluang, malangnya tidak menamatkan perlawanan dengan kemenangan.
“Kami menjadikan saingan terbuka dan lawan mendapat sepakan penalti. Alisson beritahu dia tidak sentuh (Barnes) tetapi saya tidak melihat lagi (rakaman insiden).
“Kami tumpas dalam perlawanan yang saya rasa sebenarnya mustahil untuk tewas tapi itulah yang berlaku,” kata Klopp.
Kekalahan kedua dalam tiga perlawanan terakhir liga menyebabkan Reds berada di tangga keempat dengan enam mata di belakang pendahulu, Manchester United.
Liverpool mengharungi lima aksi liga berturut-turut tanpa kemenangan, malah buntu menembusi gawang lawan dalam empat perlawanan berturut-turut. – AFP