Liverpool singkir 'budak-budak' Villa - Utusan Malaysia

Liverpool singkir ‘budak-budak’ Villa

ROBERTO Firmino (tengah) dikerumuni pemain Aston Villa pada pusingan ketiga Piala FA di Villa Park pagi tadi. - AFp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Liverpool melepasi halangan skuad ‘mentah’ Aston Villa apabila mara ke pusingan keempat Piala FA selepas menang 4-1 pagi tadi.

Villa terjejas teruk akibat Covid-19 apabila tidak dapat menurunkan keseluruhan skuad utama, sebaliknya membariskan pemain akademi yang berusia di antara 18 hingga 19 tahun.

Skuad The Lions juga beraksi tanpa kehadiran pengurus, Dean Smith yang  terkesan akibat Covid-19 awal minggu ini.

Secara keseluruhan, 14 kakitangan Villa – sembilan pemain dan lima staf diuji positif, memaksa Liga Perdana Inggeris menutup pangkalan latihan mereka Khamis lalu.

Liverpool menurunkan pasukan terkuat untuk saingan pusingan ketiga di Villa Park, namun pemain muda Villa menampilkan persembahan yang bagus.

PEMAIN remaja Aston Villa mempamer aksi baik sebelum tewas kepada Liverpool.

Empat daripada kesebelasan utama Villa  belum pun lahir ketika pemain tengah Liverpool, James Milner membuat penampilan profesional pertama bersama Leeds United pada 2002.

Bagaimanapun, mereka mengejutkan Reds menerusi gol penyamaan Louie Barry pada minit ke-41 selepas Sadio Mane membuka jaringan Liverpool seawal minit keempat.

Juara Liga Perdana itu kemudian membalas dengan tiga gol dalam tempoh lima minit pada babak kedua.

Georginio Wijnaldum, Mane dan Mohamed Salah mengesahkan kemenangan pertama Reds dalam empat perlawanan (semua kejohanan).

“Budak-budak itu bermain dengan sangat baik. Kami ada masalah menghantar bola dan bergerak. Terlalu ramai berada di tempat yang salah, tidak cukup untuk mengawal semula hantaran.

“Kami ada beberapa peluang tetapi pemain merembat tepat ke penjaga gol. Masih lagi sedikit berkarat, namun lebih baik pada babak kedua,” kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN