MOSCOW: Ikon UFC, Khabib Nurmagomedov bakal bergelar pemain bola sepak profesional sekiranya dia menerima tawaran beraksi buat kelab divisyen tiga Rusia, FC Kamaz.
Sejak bersara daripada sukan seni bela diri campuran (MMA) dengan rekod tanpa kalah tahun lalu, Khabib sering berseloroh mahu bertukar karier sebagai pemain bola sepak dan menyifatkan diri ‘ejen bebas’.
Akhirnya sebuah kelab memberi respons dengan menawarkan tempat buat pertarung dengan julukan The Eagle itu selepas dia menunjukkan skil ketika berada di Dubai.

“Kami menawarkan anda untuk membuat penampilan sulung dan menjadi sebahagian daripada kelab ini.
“PFL (Liga Bola Sepak Profesional) adalah bola sepak UFC. Kami beraksi dalam setiap perlawanan untuk menang dan bercita-cita tinggi menyertai FNL (divisyen dua).
“Kami bersedia menawarkan sijil kepada Khabib. Jika semua berjalan lancar, anda hanya perlu menyatakan tarikh menyertai pasukan ini,” kata Kamaz di Instagram.
Kamaz yang sedang berusaha untuk naik ke divisyen dua meminta Khabib menyertai kem latihan selama tiga minggu di Novorossiysk bermula 12 Februari.

Khabib, 32, adalah peminat setia Real Madrid dan Cristiano Ronaldo, namun baru-baru ini turut bergambar bersama bintang pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk.
Bintang Rusia itu mengumumkan persaraan daripada UFC sejurus tamat pertarungan terakhir Oktober tahun lalu selepas kematian bapa tiga bulan sebelum itu. – AGENSI