MANCHESTER: Turun dengan misi merampas kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester United sebaliknya dimalukan 2-1 oleh kelab tangga tercorot, Sheffield United di laman sendiri sebentar tadi.
Anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer sudah bermula dengan langkah sumbang apabila ketinggalan 0-1 menerusi tandukan Kean Bryan pada minit ke-23.
Biarpun Harry Maguire berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-64, namun jaringan pemain gantian, Oliver Burke, 16 minit sebelum tamat permainan memberi kemenangan sensasi buat Sheffield.

Ini kali pertama Sheffield menumpaskan United di Old Trafford sejak Disember 1973 iaitu 48 tahun lalu.
Kemenangan itu juga menamatkan rentetan lapan kekalahan berturut-turut (semua perlawanan) yang dialami The Blades.
Skuad bimbingan Chris Wilder bagaimanapun kekal di tangga tercorot dengan hanya mengutip lapan mata daripada 20 perlawanan.
United pula di tangga kedua dengan ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Manchester City yang turut memiliki kelebihan satu perlawanan. – AGENSI