KUALA LUMPUR: Soong Joo Ven menepati ramalan apabila muncul juara perseorangan lelaki Purple League Pro Am 2020 selepas mengalahkan Iskandar Zulkarnain dalam final hari ini.
Selepas bertarung selama sejam Joo Ven dinobat selaku juara dengan kemenangan 11-10, 10-11, 9-11, 11-5, 11-10, sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000.
Iskandar bagaimanapun menebus kekecewaan dengan menjuarai saingan beregu lelaki bersama Nur Muhd. Azriyn Ayup.
Meskipun memerah kudrat dalam aksi perseorangan, Iskandar masih mampu memberi aksi cemerlang bersama Azriyn untuk menang 10-11, 11-8, 11-10, 11-4.
Juara beregu lelaki membawa pulang wang tunai RM 15,000.
Iskandar menjadi pemain yang meraih hadiah kemenangan tertinggi keseluruhan dengan RM12,500.
Dalam beregu campuran, Boon Xin Yuan -Teoh Lexuan mengalahkan pilihan ketiga, Tan Kok Xian-Wong Kha Yan 9-11, 7-11, 11-7, 11-9, 11-6.
“Kami tewas di awal saingan kerana gagal membaca permainan agresif lawan, tetapi segalanya berubah di set ketiga.
“Kami mengubah corak permainan dan berjaya meraih kemenangan,” kata Xin Yuan.
Bagi Lexuan, ini adalah permulaan yang baik kerana baru digandingkan dengan Xin Yuan selepas bergelar pemain profesional.
“Selepas kejayaan ini kemungkinan kami akan dikekalkan sebagai pasangan tetapi semua bergantung kepada perancangan kelab,” kata Lexuan.
Ketua Pegawai Operasi Purple League, Ho Khek Mong berterima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Persatuan Badminton Putrajaya (PBA) dan penaja utama, Top Glove yang memastikan Purple League Pro Am 2020 berjalan lancar.
“Kejohanan yang berlangsung enam hari telah pun selesai. Sejujurnya saya teruja dan tidak menjangkakan persaingan sengit dan semangat yang telah ditunjukkan pemain.
“Saya harap kejohanan ini menjadi platform untuk pemain meningkatan mutu permainan dan berusaha mencapai kejayaan yang lebih gemilang,” kata Khek Mong.
Katanya, meskipun keadaan semasa masih tidak menentu, pihaknya akan terus berusaha untuk menganjurkan kejohanan yang lain terutama Sengheng RedONE Purple League.
KEPUTUSAN
Perseorangan Lelaki
Soong Joo Ven [1] kln Iskandar Zulkarnain [2] 11-10, 10-11, 9-11, 11-5, 11-10
Beregu Campuran
Boon Xin Yuan-Teoh Lexuan kln Tan Kok Xian-Wong Kha Yan [3/4] 9-11, 7-11, 11-7, 11-9, 11-6
Beregu Lelaki
Iskandar Zulkarnain-Nur Muhd Azriyn Ayup [3/4] kln Shia Chun Kang-Wong Tien Ci [2] 10-11, 11-8, 11-10, 11-4