KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Johor Tigris memperagakan aksi cemerlang dengan menundukkan Juara Liga Sepak Takraw (STL), Kuala Lumpur Thunder 21-19, 21-14 dalam saingan Kumpulan A, Piala Juara-Juara hari ini.
Dalam aksi pertama kedua-dua pasukan di Iskandar Puteri itu menyaksikan Kuala Lumpur Thunder menampilkan aksi meyakinkan pada set pertama namun beraksi di laman sendiri memberi kelebihan buat Johor Tigris.
Aksi set kedua menyaksikan pasukan selatan tanah air itu terus mendominasi permainan menerusi servis berkesan Faisal Fuad, apungan cemerlang Muqlis Borhan dan rejaman tajam Noraizat Nordin selain kegagalan Syahir Rosdi melakukan servis sempurna buat Kuala Lumpur Thunder meraih mata.
Perejam Johor Tigris, Noraizat mengakui tekanan berdepan Kuala Lumpur Thunder sememangnya ada kerana mereka merupakan pasukan pilihan dan memiliki kekuatan dari segi servis serta pertahanan.
Katanya, kombinasi ketiga-tiga pemain Johor Tigris juga masih belum cukup sempurna dan mereka perlu perbaiki segera dalam usaha mempertahankan kejuaraan di laman sendiri.
“Dalam perlawanan ini memang kami nak bermain agresif seperti ini dan kami berjaya meraih kemenangan pertama yang sangat penting.
“Kalau kata kami jumpa Kuala Lumpur sekali lagi di final, kami akan tampilkan aksi lebih baik kerana kalau diikutkan mereka lebih banyak kelebihan berbanding kami,” katanya selepas tamat permainan.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan A yang menampilkan dua pasukan Divisyen Satu berkesudahan Bomba Fighters menang 17-21, 25-23, 21-15.