MIAMI: Jessica Korda menyempurnakan birdie putt dari jarak 30 kaki pada lubang pertama playoff untuk menewaskan rakan senegara, Danielle Kang dan merangkul Kejuaraan Golf Juara-Juara LPGA hari ini.
Pemain Amerika Syarikat (AS) itu yang mencatat 60 pukulan di pusingan ketiga semalam, mencatat lima bawah par 66 di hari terakhir.
Jessica mengheret pemain No. 5 dunia, Danielle ke playoff selepas berkongsi kedudukan pendahulu dengan mengumpul 24 bawah par 260.
Catatan tersebut adalah 10 pukulan mengatasi rekod kejohanan terakhir.
Jessica, 27, pemain No. 23 dunia turut menumpaskan adiknya, Nelly, 22, pemain No. 4 dunia ke tangga ketiga.
“Saya sedar saya perlu melakukan pukulan serendah mungkin.
“Ia hari yang gila..Dua hari yang menakjubkan, minggu yang betul-betul gila,” kata Jessica.
Ini gelaran LPGA keenam buat Jessica, namun yang pertama sejak menjuarai LPGA Honda Thailand pada Februari 2018. – AGENSI