Hodak kembali warnai Liga M - Utusan Malaysia

Hodak kembali warnai Liga M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bukan pengendali Chile, sebaliknya jurulatih ‘mesra Liga Malaysia (Liga M)’, Bojan Hodak bakal membimbing Kuala Lumpur musim ini.

Kuala Lumpur United FC (KLUFC) menawarkan kontrak satu tambah satu buat jurulatih berpengalaman Croatia itu dengan misi memastikan skuad The City Boys kekal dalam Liga Super.

Hodak, 49, tiba di Kuala Lumpur Jumaat lalu dan secara rasmi akan memulakan tugas  Jumaat depan.

Ketua Pegawai Eksekutif KLUFC, Stanley Bernard berkata, bekas jurulatih skuad bawah 19 tahun (B-19) negara itu dipilih kerana amat berpengalaman dengan bola sepak Malaysia.

Hodak mempunyai rekod baik sepanjang membimbing Kelantan dari  2012 hingga 2013 dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2014-15 dengan menjulang kejuaraan Liga Super.

“Betul Bojan adalah jurulatih baharu Kuala Lumpur dan kami ditawarkan kontrak satu tambah satu.

“Seiring dengan barisan pemain yang ada, sudah tentu kita inginkan seorang jurulatih
yang berkualiti dan mempunyai rekod dalam Liga M.

“Semua orang mengenali beliau dan kami gembira berjaya mendapatkan khidmatnya.

“Tentang KPI (petunjuk prestasi utama) Bojan pula adalah memastikan pasukan terus kekal dalam Liga Super,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

SIMON ELISSETCHE

Keputusan itu sekali gus mengesahkan  jurulatih dari Chile, Simon Elissetche yang sebelum ini ditawarkan kontrak enam bulan tidak akan bersama Kuala Lumpur.

Difahamkan Simon belum mendapat kelulusan Recognition of Coaching Competence (RECC) yang dikeluarkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Liga Super 2021 mewajibkan ketua jurulatih perlu memiliki Lesen Pro ‘A’, dan syarat itu menyaksikan Nidzam Adzha Yusof terpaksa mengundur diri sebagai ketua jurulatih kepada penolong jurulatih.

“Kita perlu memiliki pelan B, C dan D. Kita mahu serius dalam musim ini, selain perlu menunjukkan sesuatu bagi menarik minat penaja.

“Perkhabaran Bojan ke Kuala Lumpur mendapat sambutan cukup baik daripada semua orang dalam kelab, pemain dan barisan jurulatih lain yang memberi reaksi positif,” katanya.

Hodak memulakan kariernya di Malaysia dengan mengendali skuad UPB-MyTeam pada 2006-09, selain mengendali Kelantan dan JDT.

PSM Makassar kelab terakhir dibimbing Bojan Hodak.

Sepanjang menjadi jurulatih di Liga M, beliau berjaya merangkul dua gelaran Liga Super, dua Piala FA, satu Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih, selain membawa skuad B-19 muncul naib juara Piala AFF B-19 pada 2018.

Tugasan terakhir Hodak adalah membimbing kelab Indonesia, PSM Makassar yang disertai tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya