KUALA LUMPUR: Hajat Goh V Shem-Tan Wee Kiong untuk merangkul kejuaraan antarabangsa pertama sejak 2019 tidak kesampaian apabila tewas dalam final badminton Terbuka Thailand di Bangkok hari ini.
Naib juara beregu lelaki Sukan Olimpik 2016 itu memberi tentangan sengit kepada pasangan No. 7 dunia, Lee Yang-Wang Chi Lin sebelum tunduk 16-21, 23-21, 19-21.
Kekalahan itu menyaksikan V Shem-Wee Kiong tumpas dalam semua tiga pertemuan dengan pasangan Taiwan tersebut.
Kali terakhir mereka merangkul gelaran antarabangsa adalah pada Terbuka Taiwan, September 2019.
Bagi V Shem, berjaya melangkah ke final adalah keputusan positif untuk memulakan tahun 2021 selepas hampir setahun tidak beraksi akibat pandemik Covid-19.
Selaku juara, Lee Yang-Chi Lin membawa pulang AS$74,000 (RM298,701) manakala V Shem-Wee Kiong meraih AS$35,000(RM141,277).