MANCHESTER: Pep Guardiola tidak terlalu teruja dengan kedudukan terkini Manchester City kerana Liga Perdana Inggeris masih panjang, selain berdepan isu kecederaan selepas mengalahkan Aston Villa 2-0 pagi tadi.
Kemenangan di Stadium Etihad melonjakkan skuad The Citizens ke tangga teratas buat kali pertama dalam tempoh 18 bulan.
Bagaimanapun, Manchester United kembali merampas takhta liga selepas mengalahkan Fulham 2-1, dua jam selepas itu.
Biarpun ketinggalan dengan dua mata di belakang Red Devils, City masih memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
“Kalau anda tanya pendapat saya, ya kami memiliki kelebihan satu perlawanan tetapi liga masih panjang.
“Kami juga perlu menghadapi Piala FA selepas ini (pusingan keempat menentang Cheltenham, Sabtu ini) dan bertandang ke West Brom (Liga Persada, Rabu depan),” kata Guardiola.
Pengendali City juga resah melihat dua tonggak, Kyle Walker dan Kevin De Bruyne terpaksa dikeluarkan ketika menentang Villa akibat kecederaan.
City meneruskan rentak cemerlang dengan mencatat kemenangan liga keenam berturut-turut, berterima kasih kepada gol lewat permainan Bernardo Silva dan Ilkay Gundogan.
Bagaimanapun kemenangan terpaksa dibayar dengan harga tinggi selepas Walker digantikan oleh Aleks Zinchenko pada minit ke-60 , manakala De Bruyne diganti dengan Gabriel Jesus, minit ke-59. – AGENSI