FAM tak cakap nak potong mata Kelantan - Utusan Malaysia

FAM tak cakap nak potong mata Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membidas pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman kerana ‘menyerang’ mereka tanpa memeriksa  ketepatan laporan yang disiarkan media.

Badan bola sepak itu menafikan mengeluarkan kenyataan Kelantan FC akan dikenakan pemotongan tiga mata dalam Liga Perdana musim ini jika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal melunaskan tunggakan gaji 11 bekas pemainnya.

Menurut FAM, laporan tersebut hanya rumusan yang dibuat sendiri oleh wartawan yang menemubual Setiausaha Agung mereka, Stuart Ramalingam ketika itu.

Jelas FAM, Stuart telah mengelak untuk menjawab soalan mengenai pemotongan mata itu supaya tidak mengeruhkan keadaan di antara KAFA dan Kelantan FC.

NORIZAM TUKIMAN

“FAM ingin mengingatkan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai ZamSaham agar tidak terburu-buru dalam mengeluarkan sebarang kenyataan di media sosial tanpa memeriksa ketepatan fakta tersebut terlebih dahulu dan cuba menyerang FAM dengan mengaitkan pula isu-isu yang tiada kena mengena dalam hal ini.

“Perkara seperti ini boleh dielakkan daripada berlaku jika Norizam menghubungi terus Setiausaha Agung FAM untuk mendapatkan penjelasan atau pengesahan,” kata Stuart dalam satu kenyataan semalam di Facebook rasmi FAM.

FAM turut memuat naik klip audio rakaman perbualan temu ramah yang telah dibuat oleh wartawan berkenaan ketika menghubungi Stuart, yang mana ketika menjawab soalan, Stuart langsung tidak menyatakan mengenai pemotongan mata terhadap Kelantan FC, seperti yang dilaporkan dalam artikel tersebut.

FAM juga akan mendapat penjelasan daripada agensi berita yang mengeluarkan laporan itu atas sebab kandungannya boleh dianggap berlainan daripada jawapan yang diberi dalam temu ramah berkenaan.

Norizam sebelum itu membidas ‘ugutan’ FAM untuk memotong tiga mata mereka  jika KAFA gagal melangsaikan hutang dengan menyifatkan tindakan tersebut tidak adil ketika pasukannya sudah bergerak berasingan selari dengan penswastaan.

“KAFA dah jelaskan, baki hutang mereka akan bayar. Kelantan FC dah nak fokus ke depan. FAM pula sepatutnya membantu penswastaan.

“Bukannya awal-awal dah cerita nak tolak tiga mata, kemudian tanpa sebarang pertanyaan kepada kelab dan KAFA terlebih dahulu. Mohon FAM, biar lebih bijak dari biasa,” katanya dalam Facebook.

Kemarahan Norizam tidak terhenti di situ, malah beliau mempersoalkan di manakah bayaran hak siaran aksi Liga Malaysia dan elaun pengadil yang belum dibayar.

“Hutang MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) siaran perlawanan belum bayar! Hutang MFL duit pengadil pun belum bayar!. Apa perjuangan FAM? Renovate office (ubah suai pejabat)?,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya