MADRID: Lionel Messi menerima kad merah pertama sepanjang kariernya bersama Barcelona ketika pasukan itu dikejutkan Athletic Bilbao 2-3 dalam final Piala Super Sepanyol yang penuh dramatik pagi tadi.
Dua jaringan Antoine Griezmann tampak seakan mengesahkan trofi buat Barcelona apabila mendahului 2-1, namun jaringan penyamaan Asier Villalibre pada minit terakhir mengheret saingan ke masa tambahan.
Inaki Williams kemudian meledak gol hebat hanya tiga minit memasuki waktu tambahan untuk mengesahkan kejuaraan Bilbao.
Messi mengetepikan masalah kecederaan paha untuk beraksi di Seville dan perlu bermain selama 120 minit ketika Barcelona cuba membawa permainan ke penentuan penalti.
Penyerang berusia 33 tahun itu bagaimanapun hilang pertimbangan di penghujung permainan apabila membalas cabaran Villalibre.
Ini adalah kad merah pertama Messi dalam 753 penampilan buat Barcelona. Dia sebelum ini pernah dilayangkan dua kad merah ketika beraksi buat Argentina pada 2005 dan 2019.
“Selepas lama dalam bola sepak, Leo amat faham apabila dia cergas untuk bermain.
“Kami berbincang sebelum perlawanan dan dia berkata bersedia untuk diturunkan. Dia memberi sumbangan maksimum,” kata pengurus Barcelona, Ronald Koeman. – AFP