LONDON: Manchester City mara ke final Piala Liga buat kali keempat berturut-turut selepas menyingkirkan Manchester United yang terus dibayangi badi separuh akhir.
Pada ketika City bakal berdepan Tottenham di Wembley, April ini United yang tumpas 0-2 di Old Trafford pagi tadi masih buntu mencari tiket akhir pertama di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer.
Red Devils kini tersingkir dalam separuh akhir keempat berturut-turut, meneruskan nasib malang musim lalu – gagal di peringkat sama Piala Liga, Piala FA dan Liga Europa.
Jaringan John Stones dan Fernandinho memberi kemenangan buat skuad bimbingan Pep Guardiola, yang dibayangi isu kehilangan ramai tonggak akibat Covid-19, kecederaan dan penggantungan.
Selepas mengharungi aksi Liga Perdana Inggeris dengan baik, kekalahan kepada musuh sebandar dalam Piala Liga memberi amaran buat United bahawa masih ada jurang di antara dua gergasi Manchester itu.
City yang menghampiri rekod kejuaraan Piala Liga keempat berturut-turut turun dengan keyakinan tinggi selepas mengharungi 11 perlawanan tanpa kalah (semua pertandingan).
Kedua-dua pasukan memperoleh gol yang dibatalkan pada babak pertama selepas jaringan Ilkay Gundogan serta Phil Foden dinafikan kerana ofsaid.
Stones juga menjaringkan gol sendiri pada separuh masa, namun lega jaringan itu dibatalkan pengadil.
Selepas babak pertama berakhir 0-0, bek tengah England, Stones yang jarang menjaringkan gol buat City meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-50 dengan menolak bola hasil sepakan bebas.
Ketika permainan berbaki tujuh minit untuk ditamatkan, Fernandinho menghukum tuan rumah dengan gol kedua The Citizens. – AGENSI