Azri resah fikir keluarga di Kelantan - Utusan Malaysia

Azri resah fikir keluarga di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penjaga gol Perak, Azri Ghani mengakui tidak keruan memikirkan keselamatan keluarganya di kampung di Kota Bharu, Kelantan yang dilanda banjir.

Azri yang kini menjalani latihan bersama Perak di Ipoh, hanya mampu berharap ibu bersama adiknya dalam keadaan baik meskipun rumah mereka yang terletak di Pulau Kundur sudah pun dinaiki air sejak semalam.

Pemain berusia 22 tahun itu, menjelaskan keadaan banjir di sana makin membimbangkan apatah lagi ini kali pertama rumah mereka dinaiki air dan perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan sebelum berpindah ke tempat yang lebih selamat.

KEADAAN rumah Azri Ghani di Kelantan.

“Saya sebenarnya memang tidak sedap hati apabila perlu berjauhan dengan keluarga dalam tempoh sukar seperti ini tetapi kalau saya nak balik sana pun, banyak jalan sudah dinaiki air dan risau nanti tersekat pula.

“Sebelum ini tak pernah pula sampai banjir sehingga ke dalam rumah tetapi tahun ini paras air naik mendadak dan dalam sekelip mata, rumah kami dinaiki air, jadi ibu dan adik sempat menyelamatkan beberapa barang penting sahaja.

“Sekarang ketika berlatih pun, fikiran saya dekat kampung risaukan ibu dan adik, nasib baik abang saya dari Pulau Pinang ada sekali di sana, boleh tolong jagakan mereka sekarang.

“Saya harap sangat keadaan akan cepat pulih, jadi saya pun boleh bekerja di sini dengan lebih tenang, sebab nanti liga pun dah nak mula dan semestinya saya ingin fokus dengan lebih baik,” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) semalam.

AZRI GHANI

Bekas penjaga gol Kedah itu telah memulakan sesi latihan bersama skuad Bos Gaurus sejak Rabu lalu dan kini dalam fasa untuk menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan.

Meskipun permulaan tahun ini tidak manis seperti yang diharapkan dengan bencana alam yang menimpa keluarga, namun Azri percaya ada sinar di sebalik yang berlaku.

Dalam masa sama, Azri berazam mahu mencapai kecemerlangan bersama Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN