LONDON: Mikel Arteta mengakui, kebangkitan yang dilakukan Arsenal sejak akhir-akhir ini membuatkan mereka amat keletihan ketika diikat 0-0 oleh Crystal Palace dalam aksi hambar Liga Perdana Inggeris hari ini.
Gunners yang memenangi empat aksi terakhir (semua kejohanan), bernasib baik masih dapat mengharungi lima perlawanan tanpa kalah.
Palace gagal menyempurnakan beberapa peluang keemasan pada babak pertama di Emirates, dan biarpun Arsenal menunjukkan peningkatan selepas rehat, mereka terlepas untuk kembali mendaki carta liga.
“Saya mahu melihat kemenangan dan beberapa gol tetapi kami keletihan. Saya tidak pertikaikan semangat pemain cuma ia tak cukup.
“Kami banyak mencipta situasi sukar di awal permainan tapi ada masanya terlalu banyak memberikan bola mudah kepada lawan.
“Kami beraksi dalam banyak perlawanan dan anda boleh melihat pemain amat letih. Ramai yang tidak segar dan kami kurang kualiti pada babak akhir untuk memenangi perlawanan ini,” kata Arteta.
Arsenal kini menghuni tangga ke-11 liga, lapan mata di belakang kelompok empat terbaik – kedudukan yang akan memberi tiket ke Liga Juara-Juara.
Palace pula hanya menang satu daripada lapan perlawanan terakhir (semua kejohanan) dan satu mata di belakang Arsenal untuk berada di tangga ke-13. – AGENSI