KUALA LUMPUR: Seramai lapan individu melibatkan atlet dan jurulatih disahkan positif Covid-19 setelah menjalani ujian swab di pusat latihan masing-masing yang diselaraskan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) selepas kembali dari cuti hujung tahun
Ketua Pengarah MSN, Datuk Shapawi Ismail berkata, tujuh atlet dan seorang pegawai terbabit dipercayai mendapat jangkitan semasa bercuti di kampung atau rumah masing-masing.
“Hanya 1 peratus iaitu lapan individu daripada 632 atlet dan pegawai yang telah menjalani ujian swab didapati positif ujian tersebut.
“Mereka yang didapati positif diasingkan dan menunggu tindakan selanjutnya daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata Shapawi dalam kenyataan itu hari ini.
Tambah kenyataan tersebut, kesemua lapan individu tersebut daripada olahraga (dua), tenis berkerusi roda (dua), bola keranjang kerusi roda (dua), tenpin boling cacat pendengaran (satu), manakala pegawai pengiring sukan boccia (satu).
Katanya, MSN juga juga telah mengasingkan atlet dan pegawai yang berkemungkinan mempunyai kontak rapat dengan mereka yang didapati positif Covid-19 dan akan menjalani ujian swab pada hari keempat.
“Jika keputusan negatif tetapi mempunyai simptom, mereka perlu menjalani proses kuarantin sehingga hari ke-10 dan ujian akan diadakan pada hari kesembilan untuk pengesahan bebas dari jangkitan,” katanya.
Dalam pada itu, Shapawi berkata, pihak telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, di mana kem latihan berpusat MSN ini akan diteruskan secara ‘quarantine-based approach’ selama dua minggu pertama, dengan atlet serta jurulatih tidak dibenarkan keluar kecuali ke tempat latihan masing-masing secara terkawal.
“Arahan ini akan dikaji semula selepas dua minggu melihat kepada perkembangan penularan jangkitan Covid-19. Kemudahan pusat latihan hanya boleh digunakan oleh atlet dan jurulatih sahaja.
“Pengawalan keluar masuk ke premis penginapan dan latihan selain dari atlet dan jurulatih adalah tidak dibenarkan.
“Proses sanitasi akan dilaksanakan pada setiap pusat latihan dan penginapan setiap seminggu sekali. Perkara ini akan dilaksanakan secara serta merta.
“Langkah-langkah ini diambil bagi pematuhan semua SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan dan komitmen MSN dalam memastikan atlet negara berada dalam kesihatan dan kondisi terbaik bagi menjalani latihan sukan masing-masing,” katanya.
Tambah Shapawi, perkara tersebut akan dikuatkuasakan kepada semua pusat latihan iaitu di Kompleks MSN Bukit Jalil, Kompleks Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, Kompleks MSN Taman Keramat, Kompleks Pelayaran Langkawi, Akademi Badminton Malaysia, Velodrom Nasional Nilai dan Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari.
Terdahulu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann didapati positif Covid-19 setelah menjalani ujian calitan (swab) sebagai persediaan ke Jelajah Asia Asian di Thailand pada 2 Januari lalu.