KUALA LUMPUR: Skuad bawah 19 tahun (B-19) Malaysia adalah calon terbaik bagi menggalas cabaran negara di Sukan SEA Vietnam tahun ini.
Pengurus skuad Malaysia B-19 Malaysia, Datuk Kamarul Ariffin Mohd. Shahar berkata, skuad remaja negara itu lebih bersedia kerana sudah dipersiapkan menghadapi Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 yang dijadual berlangsung di Uzbekistan, Mac ini.
Katanya, dengan status sebagai pasukan kedua terbaik Asia Tenggara bagi peringkat bawah 19 tahun, peluang wajar diberikan kepada mereka untuk memberi cabaran sengit Sukan SEA yang mensyaratkan semua pemain perlu berusia bawah 23 tahun.
“Itu terpulang kepada perbincangan di antara pengurusan tertinggi FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MSN (Majlis Sukan Negara) sama ada skuad ini wajar diberi peluang beraksi di Hanoi. Jika peluang itu diberikan, kami skuad B-19 amat bersedia untuk menyahut cabaran.
“Kami juga menjanjikan satu cabaran yang hebat untuk merebut pingat. Seperti kita sedia maklum di kejohanan AFF B-19 sebelum ini, kami adalah yang kedua terbaik di ASEAN dan itu pun selepas tewas kepada Australia.
“Untuk Sukan SEA, Australia tidak termasuk dalam saingan di temasya itu. Jadi saya rasa untuk peringkat bawah 19 tahun di ASEAN, kami adalah yang terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) telah membuat keputusan membatalkan kejohanan Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2021 minggu lalu selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
Kamarul mengakui, semua pemain begitu berharap dapat melakar sejarah ke Piala Dunia B-20 namun impian itu tidak kesampaian.
Kini mereka berdebar menanti keputusan daripada AFC berkenaan Kejuaraan B-19 di Uzbekistan sama ada akan diteruskan atau sebaliknya.
Katanya, satu mekanisme baharu perlu dilaksanakan bagi menjamin pembangunan pemain skuad itu untuk mengelakkan daripada berlakunya pembaziran bakat berskala besar yang akan merugikan negara pada masa depan.