BUENOS AIRES: Seorang senator di Argentina mencadangkan wajah Diego Maradona diabadikan pada wang kertas baharu negara itu.
Legenda bola sepak dunia itu yang membawa Argentina menjuarai Piala Dunia 1986 meninggal dunia pada usia 60 tahun, 25 November lalu.
Senator Norma Durango, 68, mencadangkan kepada Kongres kelmarin agar wajah wira kebangsaan itu menghiasi wang kertas 1,000 peso Argentina (RM50).
Jika diluluskan, wang tersebut akan menampilkan wajah Maradona di bahagian depan dan jaringan terkenalnya ketika menentang England pada Piala Dunia 1986 di belakang.
“Idea ini bukan saja untuk mengiktiraf idola penting kita, tetapi juga memikirkan soal ekonomi.
“Apabila pelancong datang ke sini, mereka pasti mahu membawa pulang ‘Maradona’ bersama mereka,” kata Durango.
Maradona meledak dua gol penting ketika menewaskan England pada suku akhir Piala Dunia 1986, sebelum membawa Argentina muncul juara. – AGENSI