IPOH: Pertemuan dengan ATM Guardians dan Negeri Sembilan Antlers dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2020 hari ini dan esok di Stadium Titiwangsa adalah ujian besar buat dua pemain baharu pasukan Perak Bison.
Pengurus Perak Bison, Mohd. Jaffrey Mohd. Zainol berkata, dua perlawanan itu akan menguji kemampuan dua pemain iaitu Muhammad Alhafiz Md. Isa dan Azizul Sairi.
Hafiz, 19, adalah tekong pasukan PSM Mavericks manakala Azizul pula perejam berpengalaman Perak.
“Ini adalah penampilan pertama Alhafiz dalam liga Premier kerana sebelum ini beraksi dalam liga divisyen 1. Suasananya pasti berbeza,” kata Mohd Jaffrey ketika dihubungi hari ini.
Menurut Mohd. Jaffrey, Perak Bison menyenarai dua pemain tambahan itu dalam usaha meningkatkan kemampuan pasukan itu mencabar pada pusingan kedua saingan itu nanti.
“Kedua-dua pemain ini diserapkan bagi meningkatkan kemampuan Perak Bison dalam baki sembilan perlawanan.
“Saya yakin kehadiran mereka berupaya memberi impak kepada pasukan yang ketika ini menduduki kedudukan ke-6 dengan mengutip enam mata dari tujuh perlawanan,” katanya.
Mohd. Jaffrey yang juga setiausaha Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (Persedar) berkata, pemain Perak Bison sudah bersedia untuk mengharungi kempen yang dijalankan selama dua minggu itu.
Selepas ditangguhkan hampir dua bulan kerana Covid-19, STL kembali membuka tirai pertandingan semalam.