Tiada masalah Ahmad Faizal pimpin Pafa - Utusan Malaysia

Tiada masalah Ahmad Faizal pimpin Pafa

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri tiada halangan jika bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mahu terus menerajui Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, perkara itu terserah kepada Ahmad Faizal sendiri selepas beliau sebelum ini mengumumkan akan meletak jawatan sebagai Presiden Pafa.

“Pada saya tak ada masalah untuk beliau meneruskan penglibatan dalam Pafa, terpulang kepada beliau.

“Kita di peringkat kerajaan negeri hanya mahu memastikan perjalanan dan persiapan pasukan Perak berada dalam keaadan cukup baik untuk menghadapi saingan musim depan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Khairul Shahril ditanya mengenai persiapan pasukan Perak yang dikatakan terjejas berikutan peletakan jawatan Ahmad Faizal sebagai menteri besar namun masih memegang jawatan Presiden Pafa.

Menurut Khairil Shahril, kerajaan negeri memberi ruang sepenuhnya kepada Pafa untuk menguruskan persiapan pasukan musim depan kerana Pafa masih mempunyai presiden, timbalan dan naib-naib presiden.

Katanya, beliau yakin Pafa telah merancang gerak kerja untuk persiapan pasukan tahun depan.

“Saya yakin urusan seperti pemain baharu telah diuruskan oleh pengurusan Pafa, tambahan pula liga sudah berakhir, saya yakin mereka telah selesaikan segala urusan itu dan kerajaan negeri mengalu-alukan untuk mereka meneruskan segala urusan di Pafa,” katanya.

Khairul Shahril menegaskan, sebarang perubahan dalam kepimpinan Pafa bergantung kepada kongres persatuan itu yang diadakan tahun depan.

“Tahun 2021 tak lama. Pada saya eloklah dilaksanakan kongres, apa juga keputusan dibuat melalui kongres Pafa.

“Kita juga tidak menamakan mana-mana calon untuk menerajui Pafa, yang penting Perak berada dalam persiapan terbaik untuk menghadapi saingan tahun depan,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Faizal atau Peja membuat kenyataan beliau akan meletak jawatan Presiden Pafa setelah selesai persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang berakhir pada Jumaat lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN